PARTI KEADILAN NASIONAL
BAHAGIAN  HULU  LANGAT
SELANGOR  DARUL  EHSAN

MATLAMAT PERJUANGAN

        Matlamat utama perjuangan Parti Keadilan Nasional (keADILan) ialah untuk
        membina sebuah masyarakat dan negara Malaysia yang ADIL berpaksikan
        keyakinan agama dan nilai kemanusiaan yang luhur.

        Kemerdekaan negara menjanjikan pemerintahan demokratik pilihan rakyat demi
        menegakkan keadilan dan membela nasib rakyat. Malaysia muncul,
        berkembang sebagai negara-bangsa yang bersatu dan membangun pesat; yang
        dibanggakan oleh kita semua. Syahdan, dalam keselesaan itu, muncul kelompok
        penguasa rakus dan tamak mengaut keuntungan untuk suku-sakat dan kroni.
        Rasuah menular sebagai barah dan pemimpin-pemimpin menggondol kekayaan
        menjolok.

        Idealisme dan cita-cita murni yang dilaungkan oleh tokoh-tokoh pejuang
        kemerdekaan dikuburkan. Suara rakyat terbanyak dipinggirkan, dipadamkan
        oleh media utama yang dikuasai oleh penguasa politik dan saudagar kaya.
        Bahkan penentang dan pengkritik yang mempertikai keserakahan penguasa
        akan dilanyak, ditekan ganas, dan cuba dipadamkan semaraknya api
        perjuangan dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
        Kemelut kian parah, jurang di antara golongan paling kaya dan yang papa
        kedana terus melebar. Keangkuhan kuasa menyerlah sehingga sanggup
        penguasa menghina ulama, hukum dan agama, mencengkam kebebasan
        akademik dan bersuara, menodai kesucian badan kehakiman. Ini disusuli
        dengan dakyah berterusan, mengaib, memfitnah setiap pencabar menurut skrip
        penguasa.

        Alhamdulillah, tekanan dan penindasan tidak meluputkan semangat dan
        daya-juang rakyat. Disebaliknya, rakyat kian sedar bahawa sikap tamak dan
        angkuh, rasuah serta pelanggaran hak-hak rakyat bukan sahaja pengingkaran
        hukum dan sejarah bangsa akan tetapi andaikata dibiarkan, lambat laun akan
        memusnahkan negara. Pancaran kegelisahan umum sekian lama dizahirkan
        tetapi terus diketepikan. Kemarahan rakyat akhirnya memuncak, meluahkan
        perasaan dalam perhimpunan raksasa rakyat pada 2Ohb September 1998;
        menuntut pembaharuan, islah dan Reformasi.

        Fenomena tersebut menampilkan kesedaran politik yang meluas, menggerakkan
        gagasan - keADILan. Matlamat menegakkan keadilan tersemadi sebagai kata
        keramat dan suci dalam perjuangan kita. Kita mengikrarkan perjuangan
        membawa perubahan secara aman berlandaskan undang-undang di negara
        Malaysia tercinta. Dengan permuafakatan rakyat pelbagai kaum dan agama,
        kita mampu membentuk pentadbiran yang bersih, adil dan demokratik. Kita
        berhasrat menggantikan sistem pemerintahan yang dikuasai oleh sekelompok
        kecil kepada sistem yang menjamin penyertaan bebas rakyat di segenap
        peringkat. Kita ingin mengembalikan semangat dan keluhuran Perlembagaan
        Negara yang menuntut agar tertegaknya negara hukum, dengan sistem
        kehakiman yang bebas dan berwibawa; menyediakan saluran bagi setiap rakyat
        memperolehi keadilan. Suasana dan iklim sedemikian akan menjurus ke arah
        kematangan hidup dalam suasana yang bebas dari budaya takut dan
        mencengkam. Dengan penyertaan meluas dari parti-parti politik, badan-badan
        bukan kerajaan, wanita dan belia, negara akan bergerak dengan lebih yakin ke
        arah masyarakat madani; memperkasa politik, ekonomi dan budaya.

        Kita berhasrat memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak melalui sektor
        awam dan menekankan peranan sektor swasta sebagai pemangkin. Ini
        dilaksanakan dengan menjamin prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban;
        yakni, membenteras amalan rasuah; menghentikan amalan menganugerahkan
        lesen, saham, kontrak dan projek

        penswastaan kepada suku-sakat dan kroni. Amalan peluang dibolot atau
        dimonopoli oleh segelintir yang kaya dan meminggirkan majoriti akan
        dihapuskan. Sementara dasar bumiputera dan hak keistimewaan dipertahankan,
        namun pelaksanaannya dirombak bagi menjamin peluang dan pendedahan
        kepada lebih ramai yang layak; dan tidak kepada kelompok kecil kroni yang
        sama. Peluang penyertaan ekonomi seluasnya kepada golongan
        bukan-bumiputera akan diamalkan, tidak kepada kelompok kecil terpilih tetapi
        kepada sejumlah besar pengusaha, terutama dalam kategori industri kecil dan
        sederhana. Kita akan menuju matlamat pembangunan manusia seutuhnya;
        dengan pembangunan yang memuliakan darjat insan, tidak merelakan
        pemerasan, membela nasib golongan miskin di bandar, desa dan di kawasan
        pendalaman. Ini dapat dilakukan dengan merangka belanjawan berimbang,
        menghentikan projek mega untuk bermegah-megah dan membazir dan
        berbelanja cara cermat dan berhemat untuk kepentingan rakyat jelata.

        Kita berkeyakinan untuk mengangkat mutu pendidikan dan kehidupan sosial
        negara dengan falsafah serta perancangan yang teratur. Ini kita lakukan dengan
        mengiktiraf peranan dan sumbangan pendidik dan profesion guru serta
        menyediakan prasarana secukupnya termasuk kelengkapan sains dan
        komputer. Kesejahteraan hidup keluarga bergantung kepada persekitaran
        perumahan yang selesa dan justeru itu projek perumahan kos rendah dan
        sederhana akan diperhebatkan. Kita insaf bahawa kehidupan dan

        pemerintahan hanya memperolehi keberkatan dengan dukungan rakyat dan
        petunjuk Ilahi. Justeru itu, penghayatan Islam dan kerukunan hidup beragama
        lainnya akan dilaksanakan bagi menjamin kedamaian hidup keluarga,
        masyarakat dan negara.

        Rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama cukup matang dan bijaksana.
        Hanya dengan bersatu, bermuafakat, mampu kita bentuk Malaysia yang adil.
        Kita harus bermegah dengan kebebasan, keamanan, keadilan dan keselesaan
        hidup dengan pertumbuhan ekonomi yang segar. Ini mercu tanda kita
        sebenarnya – bukan gedung pencakar langit atau mahligai tanda kemegahan
        peribadi. Sekali lagi kita ulangi harapan, supaya kita memperdalam pemahaman,
        tidak tertipu dengan slogan media milik politik penguasa dan saudagar kaya.
        Kita yang menentukan agenda perjuangan, agenda pembaharuan kita. Sang
        penguasa cemas akan gelabah dan akan menggunakan seluruh kekuatan politik,
        jentera kerajaan dan media untuk mengadu-domba, memfitnah dan menakutkan
        rakyat. Kita perlu tabah. Kita bertanggungjawab menentukan agenda kita; masa
        depan kita dan masa depan zuriat kita.

        Rakyat kerdil – petani, pekerja dan penjaja; guru, kerani atau peguam –
        manakala digembleng dalam jemaah yang kukuh akan menjelma sebagai
        kekuatan raksasa. Yakinlah, Insya’Allah, agenda pembaharuan adalah agenda
        rakyat dan agenda rakyat adalah memperjuangkan keadilan.

        Manusia merancang, Allah mentakdirkan.

        Lawan tetap lawan